Cetuskan provokasi di bangunan kerajaan, KP JKOM buat laporan polis terhadap Albert Tei

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) baharu, Mohd Hisyamuddin Ghazali hari ini tampil membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa mencetuskan provokasi di bangunan Kementerian Komunikasi.

Mohd Hisyamuddin atau Syam Ghaz menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap tindakan yang bukan sahaja mengganggu urusan rasmi kementerian, malah turut menimbulkan ketidakselesaan kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas mereka.

Menurut beliau, premis kerajaan adalah tempat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perlu dihormati daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran awam.

Sebelum ini media melaporkan Tei serta beberapa individu lain beberapa kali mengadakan protes dan perhimpunan di pekarangan Kementerian Komunikasi dipercayai bagi membantah dakwaan sekatan terhadap akaun media sosialnya.

Syam Ghaz berkata, individu berkenaan turut membuat dakwaan terbuka antaranya wujud campur tangan Kementerian Komunikasi dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya.

“Selain itu, turut mendakwa Menteri Komunikasi enggan bertemu dengannya serta mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan tanpa disokong oleh bukti yang sah dan disahkan oleh pihak berkuasa.

“Susulan itu, kita menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan lanjut.

“Semua platform media sosial mempunyai prosedur operasi dan peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi. Jika sesuatu kandungan atau akaun tidak melepasi syarat yang ditetapkan, jangan salahkan SKMM ataupun Kementerian Komunikasi,” katanya.

Laporan polis dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tindakan provokasi yang menggugat keamanan penjawat awam.

Laporan juga dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian untuk tujuan gangguan, provokasi dan Akta, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atas kelakuan menghina penjawat awam.

J-Kom menyeru semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul dan berhemah dalam mengemukakan pandangan, aduan atau mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu.

Tegasnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi negara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.