Mereka yang tebuk atap, tebuk kapal, Anwar pula dipersalah- AMK
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Kamil Munim menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca kepada kemelut dalaman pembangkang, sebaliknya menegaskan krisis yang berlaku berpunca daripada percaturan politik dan kelemahan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sendiri.
Beliau berkata, adalah tidak munasabah untuk meletakkan kesalahan terhadap Anwar sedangkan pergolakan dalam blok pembangkang sendiri dikaitkan dengan perebutan kerusi dan konflik sesama mereka.
“Orang lain yang rakus mencatur, bermain politik, mewujudkan ketidakstabilan, tikam-menikam, langkah Dubai, langkah Bangkok dan pelbagai langkah sumbang, akhirnya Anwar juga yang dipersalahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamil turut merujuk kepada kenyataan bekas Setiausaha Sulit Kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohamad, yang menceritakan pergolakan antara PAS dan Bersatu menjelang keputusan memutuskan hubungan politik.
Menurut beliau, Marzuki sendiri menjelaskan bahawa konflik tersebut berpunca daripada isu dalaman pembangkang, termasuk berkaitan perebutan kerusi dan hubungan antara parti-parti dalam gabungan itu.
“Marzuki sendiri menyebut tentang pergolakan dalaman pembangkang yang berpunca daripada isu perebutan kerusi. Kenapa Anwar pula yang perlu dipertanggungjawabkan?” soalnya.
Beliau berpandangan bahawa krisis yang melanda pembangkang adalah akibat kelemahan kepimpinan PN dalam menguruskan gabungan tersebut dan tidak wajar dikaitkan dengan pihak yang tidak terlibat.
Kamil juga mengkritik Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional dengan menyifatkan kedua-dua gabungan itu gagal menawarkan pelan ekonomi dan agenda pembangunan yang jelas kepada negara.
Menurutnya, pembangkang lebih banyak memainkan isu politik serta sentimen kaum dan agama berbanding mengemukakan dasar yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata Anwar kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara dan menarik pelaburan asing.
“Anwar baru pulang dari Tokyo semalam, sedang sibuk mengurus negara bagi memastikan ekonomi kekal kukuh dan berdaya tahan. Yang lain-lain itu sibuk juga, tetapi sibuk dengan percaturan politik tebuk kapal dan tebuk atap,” katanya.
BACA JUGA Pemuda DAP cadang PH tanding solo untuk PRN, PRU16