‘Kami perlu masa…” – SPR jawab kenapa tak buat serentak PRN Johor, Negeri Sembilan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun hari ini menjelaskan mengapa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak.

Beliau berkata, keputusan menetapkan tarikh berasingan kerana SPR memerlukan lebih masa untuk fokus di Negeri Sembilan susulan pembubaran DUN secara mengejut.

“Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut (snap election), keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.

“Kita selesaikan (PRN) Johor terlebih dahulu, kemudian kita bawa semua pasukan (dari Johor) untuk membantu Negeri Sembilan. 

“Kalau buat (PRN) serentak, persiapan memang tidak sempat,” katanya kepada memetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan hari ini.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.