SKMM tiada hak, platform yang berkuasa turunkan kandungan media sosial
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan sesuatu kandungan di media sosial.
Sebaliknya, kuasa itu terletak pada platform media sosial itu sendiri berdasarkan penilaian dan dasar yang ditetapkan platform.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, SKMM akan bertindak memanjangkan aduan yang diterima daripada orang ramai kepada platform berkaitan untuk tindakan lanjut, tanpa bias.mahupun dipengaruhi mana-mana pihak.
“SKMM akan menerima aduan dan memanjangkannya kepada platform tanpa ‘bias’, tanpa pilih kasih, dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Namun, keputusan sama ada sesuatu kandungan itu diturunkan atau sebaliknya adalah terpulang kepada platform berkenaan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata, tanggapan bahawa semua kandungan yang dirujuk SKMM kepada platform media sosial akan diturunkan adalah tidak tepat.
Realitinya kata beliau, bukan semua kandungan yang dibawa SKMM kepada perhatian platform media sosial, diturunkan.
“Banyak juga kandungan yang tidak dikenakan sebarang tindakan,” tambahnya lagi sebagai mengulas dakwaan bahawa beberapa aktivis dan penghasil kandungan yang mengkritik kerajaa, akan berdepan tindakan.
BACA JUGA ‘Kami perlu masa…” – SPR jawab kenapa tak buat serentak PRN Johor, Negeri Sembilan