‘Ketika ekonomi sedang baik, kita dikhianati sahabat’ – Aminuddin

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru jentera dan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya memberikan pengajaran kepada pihak yang mengkhianati sahabat politik ketika gabungan itu berada dalam kedudukan kukuh mentadbir kerajaan.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan malam ini, beliau berkata semua anggota parti perlu menyokong keputusan kepimpinan berhubung pemilihan calon kelak dan tidak melakukan pengkhianatan sesama sendiri.

“Sebagai ahli parti, saya mohon sungguh-sungguh, siapa jua calon dan nama dipilih pimpinan, harus kita sokonf. 

“Tak boleh khianat seperti sahabat kita khianat kita ketika kita dalam keadaan baik. Ketika (prestasi) kita baik dalam memacu ekonomi dan pentadbiran, kita dikhianati. Saya tak mahu lihat jentera parti khianat parti kita untuk kepentingan individu tertentu,” katanya tanpa merujuk siapa yang mengkhianat.

Aminuddin berkata pengumuman tarikh PRN Negeri Sembilan yang tidak diadakan serentak dengan Johor mungkin mengejutkan sesetengah pihak, namun beliau percaya terdapat hikmah di sebalik keputusan tersebut.

Beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan yang berada di luar negeri supaya pulang mengundi pada 1 Ogos nanti bagi mempertahankan kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, pilihan raya itu merupakan medan untuk rakyat menyampaikan mesej terhadap pihak yang didakwa telah mengkhianati mandat dan persahabatan politik.

“Tunjukkan ketidakpuasan hati kepada mereka yang khianat kita. Inilah masa kita tunjukkan. Biar masyarakat ajar mereka supaya mereka faham demokrasi.

“Kita nak lihat ketika PRN nanti sokongan rakyat mampu memberikan hukuman kepada mereka,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru penyokong parti untuk merapatkan saf, perteguh sokongan, dan meletakkan sepenuh keyakinan bahawa Pakatan Harapan mampu memenangi pilihan raya kali ini.

BACA JUGA SKMM tiada hak, platform yang berkuasa turunkan kandungan media sosial