Anwar seru rakyat pertahan kestabilan politik Negeri Sembilan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat bagaimana kerajaan yang seharusnya mentadbir sehingga lima tahun, hanya bertahan dalam tempoh tiga tahun kerana percaturan politik pihak tertentu yang menggugat kestabilan kerajaan.
Beliau berkata, penyelesaian kepada kemelut sedemikian bukan lagi terletak di tangan pemimpin atasan, sebaliknya berada di tangan rakyat yang akan menentukan hala tuju negeri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menyeru rakyat untuk menggunakan kuasa undi memilih kerajaan yang stabil, sealiran dengan Persekutuan.
“Orang boleh sepak terajang, buat pelbagai helah sehinggakan kerajaan yang sepatutnya bertahan lima tahun, tak sampai tiga tahun pun dah tumbang.
“Jawapannya bukan lagi pada orang atas. Jawapannya pada rakyat, petani, guru, kerani, penjaja dan rakyat biasa di bawah,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan malam ini.
Anwar berkata, Pakatan Harapan tidak mahukan kemenangan yang bersandarkan kepada kebencian kaum, sebaliknya mahukan kemenangan kerana kasih kepada negeri dan rakyat.
“Pastikan kita dapat teruskan sistem politik stabil. Ini rayuan saya. Kita nak menang dengan semangat, dengan jiwa kita dengan rasa kasih kepada negeri dan rakyat. Kita tak mahu menang dengan kebencian, guna kaum dan perkayakan diri,” ujarnya.