PRN Negeri Sembilan perlu demi kembalikan mandat rakyat selepas 14 ADUN BN tarik sokongan – Nur Azman

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena, Seremban Negeri Sembilan. 12hb Jun 2026 (Jumaat)

Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nur Azman Mohammad menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan bagi mengembalikan mandat rakyat susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang didakwa menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan negeri. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, tindakan tersebut telah menjejaskan kestabilan politik negeri ketika kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sedang giat melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa pilihan raya negeri perlu diadakan ketika mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada 2028. Jawapannya kerana kestabilan yang kita nikmati telah dikhianati apabila 14 ADUN Barisan Nasional menarik sokongan dan berpakat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya. Nur Azman turut menggariskan pelbagai pencapaian Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Aminuddin sejak 2018, termasuk peningkatan hasil negeri daripada sekitar RM640 juta kepada RM700 juta serta pertumbuhan pelaburan yang meningkat daripada RM1.6 bilion kepada RM19 bilion pada tahun 2025.

Nur Azman turut menggariskan pelbagai pencapaian Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Aminuddin sejak 2018, termasuk peningkatan hasil negeri daripada sekitar RM640 juta kepada RM700 juta serta pertumbuhan pelaburan yang meningkat daripada RM1.6 bilion kepada RM19 bilion pada tahun 2025. Beliau berkata, kejayaan itu membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat terus kepada rakyat melalui 361 program dengan nilai keseluruhan RM681.5 juta.

“Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan antara RM60 juta hingga RM100 juta untuk mengembalikan hasil negeri kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan,” katanya. Dalam masa sama, beliau memuji komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan penjawat awam yang menyaksikan Bantuan Khas Kewangan meningkat secara berperingkat sehingga tiga bulan gaji pada tahun 2026. Nur Azman turut menekankan kejayaan pengurusan agensi dan syarikat milik kerajaan negeri yang menurutnya menunjukkan peningkatan ketara hasil tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Beliau berkata, keuntungan Yayasan Negeri Sembilan serta kedudukan kewangan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) turut mencatatkan peningkatan berbanding ketika pentadbiran terdahulu. Selain aspek ekonomi dan kebajikan, beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa komited mempertahankan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Negeri serta institusi diraja termasuk memperkukuh peranan Undang Yang Empat dan tok-tok adat menerusi pelbagai peruntukan khas.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberikan mandat baharu kepada Pakatan Harapan bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik, kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat, pemeliharaan Adat Perpatih serta kedaulatan institusi diraja.

“Pilihan raya negeri ini amat penting untuk memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan dapat diteruskan demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih maju dan sejahtera,” katanya. Beliau mengakhiri ucapan dengan mengajak hadirin mendengar rakaman pesanan khas daripada aktivis reformasi veteran, Haji Razali Gani, yang turut menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin Harun untuk terus menerajui Negeri Sembilan.