Belum panas lagi kerusi Samsuri, Hamzah dilantik semula ketua pembangkang
Belum sempat panas kerusi sebagai Ketua Pembangkang, jawatan yang disandang Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kini kembali bertukar tangan kepada pemilik lamanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam pengumuman mengejutkan hari ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Hamzah dilantik semula melalui musyawarah dan akuan bersumpah (SD).
Menurutnya, pelantikan Hamzah mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
“Kedua-dua keputusan itu dibuat secara musyawarah termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen Pas dan turut mendapat SD daripada ahli-ahli parlimen PN. Semua ahli parlimen PN bersetuju”.
“Sejak awal lagi kita telah melantik beliau sebagai Ketua Pembangkang. Jadi, kita ulang baliklah. Kita boleh ulang balik perkara ini setelah dia berlaku,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Reset Malaysia hari ini.
Ahmad Samsuri menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang bermula 17 Mei lalu dan melepaskan jawatan tersebut tidak sampai sebulan.
Namun Abdul Hadi berkata, Pas bersama Gerakan dan semua wakil rakyat di bawah gerakan Reset sepakat mengekalkan Ahmad Shamsuri sebagai Pengerusi PN.