Bukan calang-calang, Bang Mat lancar operasi Meraque di Uzbekistan
Kepakaran teknologi pertanian Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila syarikat tempatan, Meraque Group, secara rasmi melancarkan operasinya di Republik Uzbekistan, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama dalam bidang pertanian pintar antara kedua-dua negara.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Uzbekistan, Prof. Ibrokhim Abdurakhmonov.
Menurut Bang Mat, kejayaan Meraque menembusi pasaran Uzbekistan merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana ia membuktikan inovasi dan kepakaran yang dibangunkan oleh anak tempatan mampu bersaing di pentas global.
“Meraque bukanlah nama asing dalam sektor pertanian moden. Syarikat ini terkenal dengan penggunaan teknologi robotik dan dron yang membantu meningkatkan produktiviti ladang, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memudahkan pengurusan pertanian secara lebih cekap dan pintar,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran syarikat itu di Uzbekistan mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan teknologi Malaysia dalam menyokong transformasi sektor pertanian melalui penggunaan teknologi tinggi.
Bang Mat turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian Uzbekistan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan, termasuk kebenaran khas untuk operasi perkhidmatan dron oleh Meraque di negara berkenaan.
Menurutnya, langkah itu membuka ruang yang lebih luas untuk kerjasama strategik dalam bidang pertanian pintar, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta perkongsian kepakaran antara Malaysia dan Uzbekistan.
Beliau berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pertanian Uzbekistan, malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport teknologi bernilai tinggi dan memperluaskan hubungan ekonomi dengan rantau Asia Tengah.
“Ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pengeluar hasil pertanian, tetapi juga mampu menjadi pembekal penyelesaian teknologi pertanian yang inovatif kepada pasaran antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat Malaysia meneroka peluang pelaburan dan kerjasama di Uzbekistan serta negara-negara Asia Tengah pada masa hadapan.
Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan Meraque Group dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha tersebut.
Katanya, kejayaan itu wajar menjadi contoh bagaimana inovasi, teknologi dan kerjasama antarabangsa mampu memacu pembangunan sektor pertanian yang lebih moden, mampan dan berdaya saing, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada global.
BACA JUGA Netizen sinis dakwaan tokoh sertai Pas, ada yang sifatkan ‘bukan kejutan’