Rosmah tampil bersuara, nafi dakwaan kaitan hartanah mewah AS$13 juta

Datin Seri Rosmah Mansor tampil menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang mengaitkannya serta ahli keluarga isteri Datuk Seri Razak itu dengan pembelian dan pemilikan hartanah mewah bernilai AS$13 juta yang kini tular di media sosial.

Rosmah menegaskan beliau sama sekali tidak pernah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah seperti yang didakwa dalam beberapa video yang tersebar di platform seperti X dan Facebook.

Menurutnya, tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan penggunaan syarikat proksi, struktur kewangan luar pesisir serta transaksi melibatkan pihak tertentu adalah dakwaan palsu yang sengaja direka bagi mencemarkan reputasi dirinya dan keluarga.

Dalam satu kenyataan panjang bahasa Inggeris yang dikeluarkannya, Rosmah mendakwa penyebaran kandungan tersebut merupakan satu kempen fitnah terancang yang berniat jahat.

Ia juga, tegasnya, bertujuan mengelirukan orang ramai dan menjejaskan keyakinan terhadap proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Dakwaan yang cuba mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat proksi (shell companies), struktur kewangan luar pesisir (offshore), atau hubungan dengan mana-mana individu dan entiti yang dinamakan dalam video-video tersebut adalah sama sekali tidak berasas, tidak benar dan direka secara berniat jahat.

“Dakwaan tersebut tidak disokong walau sedikit pun oleh bukti yang boleh dipercayai, dan tidak lebih daripada satu kempen yang dirancang serta disengajakan untuk memfitnah saya dan mencemarkan nama baik keluarga saya.

“Penerbitan dan penyebaran dakwaan-dakwaan ini jelas merupakan perbuatan fitnah dan penyebaran maklumat palsu secara berniat jahat.

“Kandungannya mengelirukan, amat tidak bertanggungjawab dan nyata bertujuan memperdaya orang ramai, menjejaskan keyakinan terhadap proses yang sah di sisi undang-undang, serta menyebabkan kerosakan serius dan tidak boleh diperbaiki terhadap reputasi saya dan keluarga saya,” tegas Rosmah.

Laporan polis

Susulan penyebaran dakwaan berkenaan, beliau memaklumkan satu laporan polis rasmi telah dibuat semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu serta akaun media sosial yang dipercayai terlibat menghasilkan dan menyebarkan bahan tersebut.

Katanya, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan pada masa sama menuntut semua platform media sosial berkaitan mengambil tindakan segera memadam serta menyekat penyebaran lanjut kandungan yang didakwa palsu dan berunsur fitnah itu.

Bekas Penaung Permata berusia 74 tahun berkenaan turut menegaskan beliau tidak akan teragak-agak menggunakan saluran undang-undang termasuk memulakan tindakan sivil dan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan dakwaan tersebut.

Dalam masa sama, Rosmah menyeru orang ramai serta pihak media supaya lebih bertanggungjawab dan tidak membantu memperluaskan kandungan yang belum disahkan kesahihannya sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan.

BACA JUGA Gerakan tidak terkejut pengumuman Hadi