MHO gesa PDRM siasat dakwaan penipuan jual beli lot tanah bertindih kerugian lebih RM100,000

FOTO BERITA: Sidang Media oleh MHO mengenai mangsa rugi Rm100,000, nama dalam geran bertindih dan tiada pendakwaan di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 15hb Jun 2026 (Isnin)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penipuan melibatkan urusan jual beli lot tanah di Pulau Pinang yang dipercayai telah menyebabkan kerugian melebihi RM100,000 kepada lima mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada lima individu yang mendakwa telah diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan beberapa lot tanah di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Menurut beliau, mangsa-mangsa tertarik untuk membeli tanah tersebut kerana proses jual beli dilakukan secara rasmi di sebuah firma guaman, termasuk sesi menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh peguam.

“Mangsa telah membuat pembayaran pendahuluan dan seterusnya melunaskan bayaran ansuran mengikut perjanjian sehingga selesai. Namun selepas pembayaran penuh dibuat, individu terbabit didakwa memberikan pelbagai alasan apabila diminta meneruskan proses pertukaran hak milik tanah di pejabat tanah,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau berkata, mangsa kemudian mendapati terdapat keraguan terhadap status pemilikan tanah berkenaan, termasuk dakwaan bahawa lot yang sama mungkin telah dijual kepada beberapa individu lain serta isu pertindihan nama pada geran tanah yang berkaitan.

Menurut MHO, permasalahan tersebut bermula sekitar tahun 2016 dan laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada tahun 2018 selepas tempoh pembayaran ansuran selama dua tahun tamat. Namun, sehingga kini mangsa mendakwa masih belum menerima perkembangan yang memuaskan berhubung siasatan kes tersebut.

MHO turut memaklumkan bahawa peguam yang mewakili mangsa telah mengemukakan surat di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak PDRM bagi mendapatkan maklum balas mengenai status siasatan, namun tiada sebarang jawapan diterima setakat ini.

Sehubungan itu, MHO berharap pihak berkuasa dapat memberi perhatian serius terhadap aduan yang dikemukakan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk mangsa yang terlibat.

“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi hak rakyat, kami percaya PDRM akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional terhadap dakwaan yang dibangkitkan,” katanya. Sidang media tersebut diadakan bersama wakil mangsa bagi menarik perhatian pihak berkuasa terhadap kes yang didakwa telah berlarutan selama beberapa tahun tanpa penyelesaian yang jelas.