Minum air pangsa durian selepas makan isinya terbukti berkesan secara saintifik

Menjadi amalan orang Malaysia meminum air pangsa durian selepas memakan isi buahnya untuk mengelakkan rasa tidak senang pada perut selepas makan durian.

Selama ini, ia dianggap petua orang tua-tua sahaja tanpa ada bukti saintifik.

Akhir-akhir ini, kajian saintifik mengesahkan bahawa petua orang Melayu minum air di dalam pangsa durian selepas memakan isi durian untuk mengelakkan perut kurang selesa terbukti benar.

Menurut pakar natural product, Dr Suri Roovi, dalam tulisannya “Antara Petua dan Realiti Saintifik”, amalan itu mungkin ada benarnya.

“Ini kerana kajian yang dilakukan oleh ramai saintis dan saya sendiri sebelum ini ke atas beberapa jenis buah, menunjukkan bahagian buah yang paling tinggi khasiat adalah bahagian kulit dan ari buah,” tulis beliau yang mempunyai PhD dari Universiti Glasgow, United Kingdom.

Kajian saintifik yang diterbitkan dalam Procedia Food Science pada tahun 2015 menunjukkan kulit durian bersifat antidiabetic, katanya.

Kajian yang diterbitkan dalam 2 Jurnal Saintifik pada tahun 2021 dan 2022 pula mendapati pangsa durian (bahagian putih) mengandungi bahan propacin. Bahan ini boleh bertindak sebagai antiradang.

“Justeru pengambilan air pangsa durian mungkin boleh mengurangkan rasa panas badan selepas makan durian.

“Mungkin lebih elok juga jika pangsa durian diasingkan dan direndam guna air suam sebelum airnya diminum,” tulsi beliau lagi.

BACA JUGA Rosmah tampil bersuara, nafi dakwaan kaitan hartanah mewah AS$13 juta