Pas didakwa tak ‘menyabau’ nak kahwin dengan Reset

Pas disifatkan sebagai tidak sabar-sabar untuk bersanding dengan Reset walaupun perceraiannya dengan Bersatu belum sah lagi.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof ketika mengulas majlis Pas dan Reset pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kelantan semalam.

“Perceraian Pas dan Bersatu belum pun disahkan Pendaftar. Tapi Pas dah bersanding dengan Reset atas pelamin PN. Tak menyabau,” tulis Azli menerusi facebook beliau.

Semalam, pemimpin Pas termasuk presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menyertai majlis anjuran Reset di Kelantan.

Di majlis itu, Hadi mengumumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang menggantikan MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang baharu sahaja dilantik memegang jawatan itu oleh melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Reset adalah kumpulan ahli Parlimen yang dipecat atau keluar dari Bersatu.

Selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu, Pas bergabung bersama kumpulan yang dipinggirkan oleh parti itu.

“Jenis gatal,” tulis Nizam Toha, bekas pemimpin pertengahan Pas ketika mengulas kenyataan Azli itu.

Zul A Talib pula menulis, “Orang Pas dan penyokong Pas ni tak sedar diri … Bukan main qunut Nazilah nak pecah-belah pakatan orang, last-last, pakatan hampa sendiri yang pecah belah.”

BACA JUGA Rosmah tampil bersuara, nafi dakwaan kaitan hartanah mewah AS$13 juta