Rakyat perlu berbangga, negara hadapi krisis tenaga tanpa terjejas teruk

Rakyat negara ini perlu berbangga, selepas lebih 100 hari dunia menghadapi krisis tenaga akibat perang Amerika dan Israel ke atas Iran bermula 28 Februari 2026 lalu, negara berjaya hadapinya tanpa terjejas teruk.

Semalam, media melapurkan Iran dan Amerika akan menandatangani perjanjian menamatkan serangan ketenteraan antara mereka.

Ekoran itu, selat Hormuz yang menjadi 20 peratus laluan tenaga antarabangsa dijadualkan akan dibuka semula.

Bagi penganalisis, ini adalah kejayaan besar negara apabila berjaya melalui semua ini tanpa terjejas teruk sebagaimana negara-negara lain di dunia.

“Rakyat Malaysia macam tak rasa apa-apa krisis,” kata seorang pemerhati politik antarabangsa.

Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein pula berkata, Malaysia kekal dalam kedudukan yang relatifnya kukuh dengan jumlah bekalan bahan api, makanan serta ubat-ubatan penting masih mencukupi susulan pelaksanaan langkah intervensi awal dan pengurusan krisis yang diselaraskan.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata keutamaan segera kerajaan sejak krisis global itu bermula adalah memastikan bekalan barangan serta perkhidmatan penting tidak terjejas.

“Perkara pertama (keutamaan kita) adalah memastikan ada bekalan yang mencukupi. Dari segi bekalan bahan api, kita mempunyai stok yang mencukupi sehingga Julai, malah sedang membuat persiapan untuk Ogos.

“Bagi makanan pula, bekalan lebih daripada mencukupi dalam semua kategori utama termasuk beras, ayam, telur, makanan laut, sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebagai mengulas krisis di Asia Barat itu yang kini memasuki hari ke-100.

Ketika pelbagai negara melapor rakyat mereka beratur untuk membeli minyak dan gas, rakyat negara ini terus mendapat harga minyak antara yang paling murah, RM1.99 untuk satu liter dan bekalan gas tidak terjejas.

Di samping itu, para ahli perniagaan kecil dan sederhana terus mendapat pelbagai subsidi termasuk sewa yang lebih murah untuk premis kerajaan yang mereka gunakan untuk perniagaan.

Para ahli perniagaan juga mendapat tempoh moratorium untuk pelaksanaan e-invois.

Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, gangguan terhadap bekalan tenaga dan petrokimia boleh membawa implikasi yang meluas melangkaui ketersediaan bahan api, berpotensi menjejaskan barangan penting untuk kehidupan seharian, seperti bekalan perubatan, pembungkusan makanan dan baja pertanian.

Beliau berkata risiko terbesar dihadapi negara pada masa ini bukanlah gangguan tunggal secara berasingan tetapi kemungkinan pelbagai tekanan muncul serentak merentasi tenaga, logistik, rantaian bekalan perindustrian dan aktiviti ekonomi yang lebih luas.

“Kesan krisis ini mungkin berlaku secara progresif merentasi sektor, sebab itulah persediaan dan pembinaan daya tahan mesti kekal penting dalam tindak balas kita,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan tiga strategi Utama bagi berdepan dengan krisis tenaga global baru-baru ini:

  1. Kawalan penjimatan tenaga di bangunan kerajaan,
  2. Pengekalan subsidi bersasar, dan
  3. Bantuan khusus untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Inisiatif ini dipadankan dengan amalan penjimatan mikro oleh rakyat bagi menjamin kestabilan ekonomi dan kos sara hidup.

BACA JUGA PRN Johor: Antara teruskan kesilapan Umno vs pulihkan negara