44 tahun menunggu rumah, akhirnya kerajaan MADANI selesaikan?

Selepas lebih empat dekad menanti, penantian penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk memiliki rumah yang dijanjikan akhirnya memasuki fasa penyelesaian apabila pembangunan rumah ganti dimulakan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata penyelesaian yang mengambil masa 44 tahun itu berjaya direalisasikan hasil komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memilih pendekatan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sambil memastikan kebajikan penduduk terus terbela.

Menurut beliau, isu yang merentasi beberapa pentadbiran sebelum ini akhirnya menemui jalan penyelesaian tanpa mengorbankan pemeliharaan Taman Rimba Kiara, yang menjadi antara tuntutan utama pelbagai pihak sejak sekian lama.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas komitmen beliau dalam memastikan isu yang telah berlarutan merentasi beberapa pentadbiran ini dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata, pembangunan tersebut membuktikan bahawa keperluan menyediakan perumahan kepada rakyat dan usaha memelihara alam sekitar boleh dilaksanakan secara seiring melalui pendekatan yang mengutamakan kepentingan awam serta kesejahteraan komuniti.

Beliau menjelaskan bahawa sejak 2018, beliau bersama penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Friends of Bukit Kiara (FOBK), wakil komuniti serta pelbagai pihak berkepentingan telah berusaha mencari penyelesaian yang membolehkan penduduk memperoleh kediaman yang bermaruah tanpa menjejaskan kawasan hijau Taman Rimba Kiara.

Menurutnya, penyelesaian yang dicapai hari ini bukan berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil daripada pelbagai siri rundingan, perbincangan dan mesyuarat selama bertahun-tahun sehingga mencapai persetujuan bersama.

Antara prinsip utama yang dipersetujui ialah penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara akan menerima rumah ganti yang telah lama dijanjikan, manakala pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja.

Pada masa sama, baki tanah akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai Kawasan Lapang Awam, sekali gus memastikan kawasan hijau terus dipelihara.

Selain itu, rumah ganti akan dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu supaya penduduk dapat berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara.

Sebagai langkah menjaga alam sekitar, audit bersama melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Friends of Bukit Kiara (FOBK) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan perlindungan pokok-pokok di kawasan pembangunan dilakukan secara teliti.

Penyelesaian itu turut mengekalkan tapak kuil sedia ada yang akan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), selain meningkatkan jumlah lot parkir untuk Taman Rimba Kiara daripada 80 kepada 150 lot.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada wakil penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Sivakumar Muniandy, yang menurutnya bersama-sama memperjuangkan penyelesaian isu tersebut selama lapan tahun.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, atas usaha mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, penyelesaian yang dicapai membuktikan pembangunan bandar tidak semestinya berlaku dengan mengorbankan kepentingan komuniti atau alam sekitar.

“Sebaliknya, dengan komitmen, kesabaran dan kerjasama semua pihak, keseimbangan antara pembangunan, pemuliharaan dan keadilan sosial boleh dicapai.

“Selepas 44 tahun, penyelesaian yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya.

BACA JUGA Rakyat perlu berbangga, negara hadapi krisis tenaga tanpa terjejas teruk