‘Tiada rakyat boleh tercicir’ – Anwar umum penyelesaian isu Rumah Panjang Bukit Kiara
Penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk memiliki kediaman yang lebih sempurna akhirnya memasuki fasa penyelesaian apabila Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal diadakan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata detik itu bukan sahaja membahagiakan penduduk terbabit, malah membuktikan pentadbiran berteraskan nilai MADANI mengutamakan keadilan, ihsan dan martabat rakyat.
Menurut beliau, selepas lebih empat dekad menghuni penempatan sementara dalam pelbagai kekangan, kerajaan akhirnya berjaya mengambil langkah tuntas ke arah penyelesaian yang telah lama dinantikan.
“Usaha ini lahir daripada penelitian kerajaan untuk mencari jalan terbaik merungkai permasalahan yang berlarutan sejak sekian lama, selain memastikan penduduk memperoleh hak serta jaminan kehidupan yang lebih teratur dan bermaruah,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyelesaian isu berkenaan.
Beliau berkata pengalaman itu menunjukkan pentingnya menghormati proses perundangan dan institusi negara dalam mencari penyelesaian yang adil kepada semua pihak.
Pada masa sama, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip bahawa hak dan kebajikan golongan yang memerlukan mesti terus dipelihara tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Agenda membela nasib golongan miskin bandar akan terus menjadi keutamaan kerana pembangunan yang dilaksanakan mestilah bersifat inklusif dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kemajuan sebenar sesebuah negara hanya bermakna apabila tiada rakyat yang tercicir atau dipinggirkan daripada arus pembangunan.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM1 juta bagi membantu meringankan beban penduduk melalui penyediaan subsidi penyelenggaraan kediaman untuk tempoh tiga tahun.
Katanya, bantuan itu akan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk terus terpelihara selepas mereka berpindah ke penempatan baharu.
BACA JUGA Anwar sambut baik persefahaman AS-Iran, gesa Selat Hormuz dibuka segera