Hannah Yeoh mahu rider tidak lagi menunggu di tepi jalan, D’Tebing Recharge Rider jadi ruang rehat selamat dan selesa

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Hab P-Hailing @ D’Tebing “Recharge Rider” oleh YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Turut hadir YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur di Pusat Penjaja D’Tebing,Bulatan Dato’ Onn, Kuala Lumpur. 16hb Jun 2026 (Selasa)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan komuniti penghantar makanan dan barangan atau rider memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti harian warga kota, justeru mereka wajar diberikan kemudahan yang lebih selesa dan selamat ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hab P-Hailing @ D’Tebing “Recharge Rider” di Pusat Penjaja D’Tebing, Bulatan Dato’ Onn di sini hari ini dan turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.

Menurut Hannah, rider menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan penghantaran makanan dan pelbagai barangan yang digunakan setiap hari oleh masyarakat, khususnya golongan bekerja.

“Mereka menghantar makanan dan pelbagai pesanan yang kita tempah setiap hari. Tanpa mereka, banyak urusan harian masyarakat, khususnya golongan wanita yang bekerja, akan menjadi lebih sukar. Sebab itu saya tidak mahu melihat rider di Kuala Lumpur terpaksa menunggu di tepi jalan. Kita mempunyai banyak ruang yang boleh dimanfaatkan dan dihidupkan semula untuk dikongsi bersama komuniti rider,” katanya.

Beliau berkata, DBKL akan terus menambah baik kemudahan yang disediakan di hab tersebut yang kini dilengkapi dengan stesen pengecas telefon bimbit, ruang rehat, kabin khas lelaki dan wanita serta kawasan santai untuk kegunaan komuniti penghantar.

“Di sini mereka boleh mengecas telefon bimbit atau ‘mengecas semula’ tenaga sebelum meneruskan tugasan. Kemudahan seperti ini penting untuk memastikan kebajikan dan keselesaan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Hannah turut menekankan aspek keselamatan pekerja gig yang menurutnya sering berdepan risiko keletihan melampau akibat tempoh bekerja yang panjang. Beliau berkata pihaknya turut mendapatkan pandangan pakar perubatan yang memaklumkan bahawa golongan penghantar berisiko mengalami microsleep atau tidur seketika akibat keletihan ketika menunggang motosikal atau memandu kenderaan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kemalangan. Sebab itu tempat seperti ini sangat penting kerana ia memberi ruang kepada mereka untuk berehat dengan selamat sebelum meneruskan perjalanan. Saya difahamkan ada rider yang bekerja sehingga 12 jam sehari. Jadi saya berharap semua rider dapat menggunakan fasiliti ini dengan baik dan kita akan terus menambah baik kemudahan yang ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain berfungsi sebagai hab rehat komuniti p-hailing, kawasan D’Tebing turut menempatkan enam premis makanan dan minuman yang akan menawarkan pelbagai pilihan menu pada harga berpatutan termasuk Menu Rahmah. Menurut Hannah, inisiatif tersebut selaras dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang inklusif dan mesra kepada semua lapisan masyarakat.

“Kuala Lumpur milik semua golongan, sama ada B40, M40 mahupun golongan berpendapatan tinggi. Kita akan terus mencari jalan untuk menghidupkan Kuala Lumpur supaya semua orang dapat menikmati suasana bandar yang selesa dan berkualiti,” katanya. Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kemudahan Recharge Rider diwujudkan khusus untuk komuniti rider dan bukan untuk kegunaan orang awam.