Bekas pegawai NGO Ikram hadapi 158 pertuduhan rasuah lebih RM98 juta
Bekas anggota Pertubuhan Ikram Malaysia Hulu Selangor di hadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 158 pertuduhan rasuah berjumlah RM98.27 juta.
Fakhrudin Abd Karim, 57, yang memakai jaket berwarna coklat mengaku tidak bersalah ketika dibacakan kesemua pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Dua jurubahasa mahkamah mengambil giliran membacakan semua pertuduhan selama dua jam.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-149, dia yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang, milik NGO itu, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM81.95 juta.
Menurut BH, Fakhrudin didakwa mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana ke akaun sekutu tertuduh iaitu sebuah syarikat pengurusan yang mempunyai kepentingan dengannya.
Pertuduhan ke-150 hingga ke-158, Fakhrudin didakwa atas pertuduhan sama dengan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik Ikram ke dua akaun bank miliknya sendiri, berjumlah RM16.32 juta.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Sebutan semula kes ditetapkan 7 Ogos depan.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu dari sebuah NGO direman sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.
Selain 18 kenderaan mewah, SPRM menyita rumah dan hartanah kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.