Dua anggota tentera maut di Kedah: Agong zahir takziah
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban dalam kejadian letupan bom di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, hari ini.
Seri Paduka Baginda mendoakan agar keluarga kedua-dua mangsa yang maut ketika menjalani latihan itu diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi detik sukar.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Agong menerusi hantaran di Facebook.
Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menitahkan ATM supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian selain memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian utama dan diperkukuhkan.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia memaklumkan kedua-dua anggota berkenaan cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi tadi.
Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD), disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
BACA JUGA Bersatu macam ada dalam rumah tapi terkunci dalam bilik tidur