Dari rindu ke pilihan raya, naratif Umno Johor angkat Najib menjelang PRN dipersoal

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali membangkitkan persoalan mengenai hubungan antara kenyataan pimpinan Umno Johor yang mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor sebulan selepas itu.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sambutan ulang tahun ke-80 Umno pada 2 Mei lalu dilihat membawa mesej politik yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sheikh Umar berkata, sokongan terhadap Najib tidak boleh dipisahkan daripada sejarah panjang kontroversi skandal kewangan melibatkan 1MDB dan kes SRC International yang telah dibangkitkan sejak awal pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Naib Pengerusi DAP Johor itu, pelbagai pihak termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Bakke Salleh, Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Yassin pernah memberi amaran mengenai isu tadbir urus 1MDB, selain siasatan turut dijalankan pihak berkuasa antarabangsa.

Tumbang

Mengulas dakwaan bahawa Johor ‘merindui’ Najib, beliau menegaskan keputusan Pilihan Raya Umum 2018 membuktikan sebaliknya apabila negeri yang selama puluhan tahun menjadi kubu kuat BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah.

“Jika benar Johor merindui Najib, maka keputusan PRU 2018 sepatutnya dilihat dalam konteks lebih jujur.

“Pilihan raya tersebut, Barisan Nasional mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah.

“Selama puluhan tahun dianggap kubu kuat UMNO BN, telah bertukar kerajaan negerinya buat kali pertama sejak merdeka.

“Keputusan itu berlaku ketika isu 1MDB dan SRC menjadi antara isu terpenting yang mencorak sikap pengundi.

“Sudah tentu jasa-jasa dilakukan Najib pada negara mesti dihargai.

“Namun, keputusan pilihan raya 2018 menunjukkan majoriti pengundi memilih untuk menolak BN yang terkait dengan skandal yang disifatkan sebagai ‘kleptokrasi pada tahap paling buruk’,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh soal generasi muda, Sheikh Umar bersetuju keyakinan anak muda terhadap politik perlu dipulihkan, namun menegaskan ia mesti dibina atas nilai integriti, amanah dan akauntabiliti bukannya dengan melupakan sejarah penyalahgunaan kuasa.

Tegas bekas ADUN Paloh Johor berkenaan, generasi muda hari ini perlu memahami bukan sahaja pencapaian sesebuah kerajaan, tetapi juga kegagalan dan kesilapan lampau agar episod sama tidak berulang.

“PRN Johor bukan sekadar soal individu atau parti, tetapi soal nilai yang ingin kita pertahankan sebagai sebuah masyarakat sama ada untuk menghargai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, atau memilih untuk melupakan pengajaran penting yang telahpun terakam dalam sejarah,” kata Sheikh Umar lagi.

BACA JUGA Politik ketakutan gagal, formula Kerajaan MADANI pulihkan negara