Anwar petik penyair Rusia, kemudian beri mesej penting tentang masa depan ASEAN
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN perlu terus memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin kompleks, termasuk cabaran geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan persaingan teknologi yang kian sengit.
Berucap pada Forum Perniagaan Rusia-ASEAN hari ini, Anwar berkata dunia kini memerlukan lebih banyak kerjasama dan bukannya pendekatan yang bergerak secara bersendirian.
Bagi menggambarkan keutamaan tersebut, beliau memetik kata-kata penyair agung Tatarstan, Abdullah Tukay, bahawa “hanya dengan berkhidmat kepada rakyat, seseorang akan menemui kebahagiaan sebenar.”
Menurutnya, pesanan itu mengingatkan bahawa matlamat utama setiap dasar serta kerjasama ekonomi bukan sekadar mengejar pertumbuhan, tetapi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Dunia kini berdepan pelbagai tantangan, daripada ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan hinggalah kepada persaingan teknologi yang semakin sengit.
“Dalam keadaan ini, kita perlu memperkukuh kerjasama, bukan bergerak bersendirian,” katanya.
Anwar berkata ASEAN telah membuktikan dirinya sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik dan berdaya tahan di dunia menerusi pendekatan yang berasaskan keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama.
Sehubungan itu, beliau melihat potensi besar untuk ASEAN dan Rusia memperluaskan hubungan dalam beberapa sektor strategik termasuk keselamatan makanan, tenaga, teknologi digital, pendidikan serta pembangunan bakat.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan pembangunan ASEAN-Russia Strategic Programme on Trade and Investment Cooperation 2026–2035, yang menurutnya mampu menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh antara kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan ASEAN akan terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan yang dipersetujui bersama.
Katanya, dalam suasana global yang semakin tidak menentu, usaha memperkukuh daya tahan ekonomi perlu dilaksanakan tanpa mengorbankan semangat kerjasama antarabangsa.
“Segala persefahaman yang dicapai mesti diterjemahkan kepada tindakan yang menjana peluang, mencipta kemakmuran dan membawa manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
BACA JUGA Politik ketakutan gagal, formula Kerajaan MADANI pulihkan negara