Chin Tong sekolahkan Wee Ka Siong, jangan buat-buat lupa projek mega Persekutuan di Johor
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong menempelak tuduhan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang seolah-olah memberi gambaran Kerajaan Persekutuan lebih mengutamakan Pulau Pinang berbanding Johor, dengan mendakwa kerajaan bersikap tidak acuh dalam Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor.
Realitinya kata beliau, Johor mendapat tumpuan utama dalam pembinaan infrastruktur dan pembangunan, terutama di kawasan Greater Johor Bahru.
Beliau mengingatkan Wee supaya tidak berpura-pura lupa tentang projek-projek besar di Johor seperti Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru, dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Malah, projek perluasan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) juga dilaksanakan di Johor.
“Wee sewaktu menjadi Menteri Pengangkutan turut terlibat dalam perancangan RTS. Jika benar Johor tidak diberi keutamaan, apa yang beliau buat sewaktu menjadi Menteri Pengangkutan?,” soalnya.
Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Wee ketika ini cuba mengalihkan perhatian dengan membangkitkan Projek E-ART walaupun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah menjelaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui kerjasama awam-swasta (PPP).
Hujah Presiden MCA itu yang membandingkan projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang yang dikatakannya mendapat keutamaan Persekutuan berbanding E-ART Johor, adalah meleset sama sama sekali.
Jelas beliau, di Pulau Pinang, idea asal untuk pembinaan rel transit bermula pada 1995, di mana pada 2008 kerajaan negeri Pakatan Rakyat memulakan cadangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional untuk membina LRT.
Pada 2013, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dilancarkan. Sepanjang 2020-2022, pelbagai cabaran peruntukan dan pelaksanaan dihadapi, dan akhirnya sepanjang 2023-2025 semuanya diluluskan. Projek pembinaan fizikal dimulakan pada 2026.
Berbeza dengan projek Bas Rapid Transit (BRT), ia dipersetujui konsepnya pada 2017 dan dimulakan pada 2020.
Selepas disahkan pembinaannya, timbul cadangan membina rel bandar pada 2022-2023. Pada 2024-2025 pula, pelbagai alternatif lain dibincangkan termasuklah aktiviti perancangan, perolehan, dan cara pelaksanaan yang diteruskan sehingga sekarang.
Apa yang membezakan kedua-dua projek di Pulau Pinang dan Johor adalah, di Pulau Pinang, ia mengambil masa 30 tahun untuk dilaksanakan.
“Manakala di Johor, ia belum sampai 10 tahun. Malah di Johor, projek RTS telah pun dilaksanakan, dan dijangka beroperasi tahun hadapan.
“Sehubungan itu, tidak adil untuk membandingkan kedua-dua projek ini kerana status pelaksanaan yang berbeza di antara Pulau Pinang dan Johor.
“Ia berbeza dari segi garis masa, sejarah perkembangannya, dan tahap kematangan projek. Penilaian yang seimbang perlu dilihat secara menyeluruh, dan bukan mengikut projek khusus secara berasingan,” tambahnya lagi.
Liew berkata, tindakan Wee menggunakan projek E-ART sebagai senjata politiknya demi mengemis undi tidak akan berjaya kerana pengundi Johor cukup matang dan bijak untuk membezakan fakta dengan omong kosong.