Anwar seloroh depan Putin, kisah ‘tiga takhta’ masih diingati

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi klip video ketika beliau bergurau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala di Kazan semalam.

Anwar mengimbau semula kisah ‘tiga takhta’ yang pernah menjadi bahan jenaka antara beliau dan Putin ketika lawatan beliau ke Rusia sebelum ini.

Dalam rakaman itu, Putin turut dilihat tertawa kecil ketika mengingat semula cerita berkenaan.

Anwar berkata, kisah tersebut bukan sahaja kekal dalam ingatan mereka, malah pernah menjadi tular di serata dunia

“Dalam pertemuan bersama Presiden Putin, saya sekali lagi singkap kisah tiga takhta di Dewan Agung St. Andrew yang pernah menjadi bahan jenaka antara kami.

“Rupa-rupanya cerita itu bukan sahaja kekal dalam ingatan, malah menjadi tular hingga ke serata dunia,” kongsinya.

Anwar juga sempat berseloroh bahawa walaupun kisah tersebut terus diperkatakan, beliau masih tetap dengan dengan satu-satunya isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah. 

“Di sebalik gurauan itu, pertemuan kami berlangsung dalam suasana cukup mesra dan penuh keakraban, mencerminkan hubungan baik yang terus diperkukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia,” kongsinya lagi.