Terkini Bersatu gagal cabar tindakan SPRM beku, sita dua akaun parti

Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Bersatu bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan membeku dan menyita dua akaun parti itu.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, mendapati Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin gagal membuktikan bahawa keputusan SPRM adalah berniat jahat dan menyalahi undang-undang

Mahkamah mendapati tindakan menyita dan membeku akaun-akaun itu tidak dibuat dengan niat jahat (mala fide) atau melibatkan sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Secara keseluruhannya, mahkamah berpuas hati bahawa para pemohon gagal membuktikan bahawa keputusan responden dicemari unsur ultra vires (melangkaui undang-undang), niat jahat serta pelanggaran jangkaan sah (legitimate expectation) yang merupakan penyalahgunaan kuasa.

“Saya tidak berpendapat bahawa mana-mana perkara tersebut telah dibuktikan. Oleh yang demikian, permohonan para pemohon ditolak,” kata hakim.

Pada 12 dan 13 Januari 2023, SPRM membekukan akaun CIMB dan AmBank parti tersebut bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki diperoleh daripada aktiviti haram.

BACA JUGA Anwar seloroh depan Putin, kisah ‘tiga takhta’ masih diingati