Mahiaddin kekal bersalah fitnah Guan Eng, ganti rugi dikurangkan kepada RM450,000

Mahkamah Rayuan hari ini kekal mendapati Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin bersalah memfitnah Penasihat DAP, Lim Guan Eng berhubung pembatalan pengecualian cukai bagi Yayasan Albukhary.

Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Azhahari berkata, setelah meneliti tiga kenyataan yang dipertikaikan bertarikh 9, 11 dan 12 Mac 2023, Mahkamah Tinggi adalah tepat dalam memutuskan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah dan tiada alasan untuk mengubah dapatan fakta itu.

“Kami berpendapat bahawa Pesuruhjaya Kehakiman (ketika itu) telah membuat dapatan yang betul bahawa tiga kenyataan (yang dibuat Mahiaddin) adalah memfitnah responden (Guan Eng). Kami tidak menjumpai sebarang alasan untuk mengganggu dapatan ini,” katanya 

Bagaimanapun mahkamah mengurangkan jumlah ganti rugi am kepada Guan Eng daripada RM1.05 juta kepada RM450,000.

“Berhubung jumlah ganti rugi, setelah mengambil kira keseluruhan rentetan peristiwa serta keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, kami berpendapat jumlah ganti rugi am diberikan adalah terlalu tinggi.

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan ganti rugi sebanyak RM150,000 bagi setiap satu daripada tiga kenyataan (dibuat Mahiaddin), menjadikan jumlah keseluruhan RM450,000. 

“Oleh itu, jumlah RM1.05 juta digantikan dengan RM450,000,” katanya memetik Bernama.

Bagaimanapun Bernama melaporkan, mahkamah membenarkan rayuan silang Guan Eng berhubung faedah dan memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun dibayar bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.

Mahiaddin turut diarah membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Guan Eng, manakala bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pula diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada Mahiaddin.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Mahiaddin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah menerusi Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang mengaitkannya dengan isu pengecualian cukai Yayasan Al Bukhary.

Beliau mendakwa, kenyataan fitnah itu bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai serta penalti terhadap yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai. 

BACA JUGA Terkini Bersatu gagal cabar tindakan SPRM beku, sita dua akaun parti