Suami Nancy Shukri meninggal dunia
Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Kamil Misuari, meninggal dunia hari ini.
Dalam satu kenyataan petang tadi, Allahyarham dilaporkan menghembus nafas terakhir, namun punca kematian tidak dinyatakan.
“Dengan penuh rasa sedih dan dukacitanya dimaklumkan bahawa Datuk Kamil Misuari, suami kepada Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching pada Jumaat.
Jenazah kemudiannya akan ditempatkan di kediaman rasmi Nancy di Taman Serira, Jalan Menggeris, Petra Jaya bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada Nancy dan seluruh ahli keluarga.
“Saya doakan agar Datuk Seri serta seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” ucapnya.