AMANAH mula ‘panaskan enjin’ PRN Johor
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu bakal turun ke Johor malam ini bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor (Zon Selatan), sekali gus isyarat perang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Majlis pelancaran itu dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam di Dewan KPIP, Jalan Kebangsaan 58, Taman Universiti.
“Semua dijemput hadir,” menurut hebahan kepada semua pengamal media oleh Ketua Unit Media AMANAH PRN Johor 2026, Anis Afida.

Program berkenaan bakal menghimpunkan pimpinan parti, jentera akar umbi serta penyokong yang bersedia menggerakkan operasi pilihan raya di kawasan selatan negeri itu.
Sebelum ini, AMANAH Johor dilaporkan akan bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Simpang Jeram, iaitu kerusi tunggal dimenangi parti itu pada PRN 2022.
AMANAH akan merampas semula beberapa kerusi DUN yang dimenanginya sebelum ini termasuk Parit Yaani dan Kota Iskandar.
Calon AMANAH juga akan bertempur di Permas, Kemelah, Tenang, Serom, Maharani dan Bukit Pasir dalam PRN yang telah ditetapkan pada 11 Julai depan itu.
Malah, AMANAH Johor tekad memberikan saingan sengit di beberapa kawasan diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Pada PRN kali ini, DAP akan bertanding di 17 kerusi DUN manakala PKR di 20 DUN.
BACA JUGA PRN Johor: Peguam jadi taruhan DAP di DUN Mengkibol