Maal Hijrah: JKOM perkukuh ukhuwah, himpun warga seluruh negara dalam doa dan solat hajat

Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) mengadakan Program Tazkirah dan Solat Sunat Hajat sempena sambutan 1 Muharram 1448 Hijrah yang disertai warga jabatan dari seluruh negara secara fizikal dan dalam talian.

Ketua Pengarah JKOM, Syam Ghaz, berkata program berkenaan berlangsung dengan lancar dan menjadi platform bagi menghayati pengertian hijrah serta memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan warga jabatan.

Menurutnya, majlis dimulakan dengan Solat Sunat Hajat yang dipimpin oleh Sheikh Haji (Dr.) Mohd Jamil Sadaqi bin Dato’ Mursyid Diraja Al-Marhum Syeikh Tajuddin Al-Jarumi sebelum diteruskan dengan pengisian tazkirah Maal Hijrah.

“Alhamdulillah, tengah hari(Khamis) tadi selesai dengan sempurna Program Tazkirah dan Solat Sunat Hajat sempena sambutan 1 Muharram 1448 Hijrah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata penganjuran secara hibrid membolehkan seluruh kakitangan JKOM di pelbagai negeri turut serta dalam program berkenaan tanpa mengira lokasi bertugas.

Katanya, pendekatan tersebut selari dengan usaha jabatan untuk memastikan pengisian kerohanian dan nilai kebersamaan dapat dikongsi secara menyeluruh oleh warga organisasi.

Syam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini,” katanya.

Sambutan Maal Hijrah disambut setiap tahun oleh umat Islam sebagai simbol penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, selain menjadi medan muhasabah dan pembaharuan azam ke arah kehidupan yang lebih baik.

BACA JUGA Anwar kongsi hasil lawatan ke Rusia: Semua rundingan demi manfaat rakyat