Proses pemutihan PPR Lembah Subang akan dijalankan

Proses pemutihan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang akan dijalankan secara berterusan hingga selepas Pilihan Raya negeri (PRN) nanti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti pihak yang menyeleweng unit-unit kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata ia susulan kawasan perumahan itu telah ‘diceroboh’ dan didiami warga asing selain mereka yang bukan dalam kategori berpendapatan rendah (B40).

Tindakan pemutihan oleh KPKT dan pihak berkuasa negeri telah dimulakan sejak bulan lalu ekoran tindakan sebilangan pemilij rumah PPR yang menyewakan unit kediaman mereka.

“Kita akan laksanakan pemutihan semula menerusi kerjasama KPKT dengan hanya benarkan mereka yang layak diami rumah di PPR Lembah Subang ini.

“Isu ini sudah lama dan kita telah laksanakan (pemutihan) ketika pentadbiran kerajaan (Pakatan Harapan) 22 bulan sebelum ini, namun ia terbantut berikutan pertukaran kerajaan,” beliau dipetik berkata oleh Selangorkini.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalama pertemuan bersama Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini.

Terdahulu, Harapan Daily melaporkan satu pertemuan antara mereka bertiga telah diadakan di Putrajaya pada 7 Februari lalu untuk menyelesaikan masalah perumahan yang berpanjangan di dalam PPR Lembah Subang.

Dalam pertemuan itu, antara masalah yang dikemukakan dan akan diberi perhatian adalah berkaitan isu infrastruktur, pencerobohan, pemutihan semula penempatan dan keadaan persekitaran di kawasan tersebut termasuk menyelenggara kemudahan.

KPKT berjanji akan meneliti segala permasalahan yang telah diutarakan dan berjanji akan membantu pihak DUN Seri Setia dan Parlimen Petaling Jaya bagi menyelesaikannya.

Dalam pada itu, Halimey berkata bagaimanapun perkara itu hanya dapat direalisasikan sekiranya beliau menang PRN dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia bagi penggal kedua.

Â