Pertandingan sebenar di Johor bukan Pas-Bersatu

Pengaruh Pas dan Bersatu masih terhad dan tidak cukup kuat untuk mencabar Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tindakan Pas dan Bersatu masing-masing membentuk jajaran politik baharu ekoran perpecahan Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya mampu mengubah landskap politik Johor.

“Saya nampak pertandingan sebenar di Johor lebih kepada BN dan PH. Pas dan Bersatu menjadi lemah kerana kesan perpecahan mereka.

“Walaupun ada parti kecil membantu, ia tidak akan membawa impak besar di Johor,” katanya dipetik FMT.

PRN Johor menyaksikan buat pertama kali sejak pembentukan PN, dua parti komponen utama, Pas dan Bersatu tidak lagi bergerak sebagai sekutu rasmi.

Perpecahan PN dijangka akan mengakibatkan Pas dan Bersatu bertembung sesama sendiri memandangkan Mahiaddin pernah memberi amaran bahawa partinya bersedia “fight at all fronts” jika rundingan dengan Pas gagal.

Namun, Abdul Hadi memberi isyarat bahawa Pas mahu meneroka persefahaman politik baharu dan tidak mahu lagi terlalu bergantung kepada Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

BACA JUGA Onn Hafiz jangan risau, PH ada ramai pemimpin layak dan berintegriti