Bang Mat pilih dengar suara petani, santai minum kopi sambil bincang masa depan makanan negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra dikenali sebagai Bang Mat meneruskan pendekatan turun padang apabila meluangkan masa menghadiri sesi minum pagi bersama warga Pertubuhan Peladang Negeri Johor hari ini.

Dalam suasana santai sambil menikmati sarapan pagi, Bang Mat berkata, pertemuan seperti itu amat penting kerana ia membuka ruang untuk mendengar sendiri pandangan golongan peladang yang menjadi tulang belakang sektor makanan negara.

“Bagi Bang Mat, pertemuan macam ini cukup penting. Kadang-kadang sambil minum kopi dan berbual santai, banyak perkara boleh kita dengar terus daripada peladang sendiri.

“Cerita tentang hasil tanaman, cabaran di lapangan, kos pengeluaran dan harapan mereka untuk masa depan sektor pertanian negara,” katanya menerusi hantaran Facebook sebentar tadi.

Katanya, pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara rakyat perlu menjadi asas utama dalam merangka sesuatu dasar, khususnya melibatkan sektor strategik seperti pertanian yang menyentuh keperluan harian rakyat.

“Bang Mat sentiasa percaya, kalau nak buat dasar yang baik, kita kena turun padang dan dengar sendiri suara mereka yang bekerja keras setiap hari menghasilkan makanan untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Pertubuhan Peladang Negeri Johor atas layanan mesra yang diberikan sepanjang pertemuan pagi ini.

BACA JUGA AMANAH tidak tunggu lama, jentera Johor mula digerakkan habis-habisan