Loke jawab siapa calon MB Johor

Tumpuan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini adalah untuk memenangkan calon-calon gabungan berkenaan terlebih dahulu.

Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, calon bakal Menteri Besar Johor dari PH jika menang di PRN Johor akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi blok itu nanti.

“Oleh itu, soal Menteri Besar Johor akan dibincangkan di peringkat tertinggi PH, jadi setakat ini belum ada apa-apa pengumuman lagi,” katanya, dipetik BH.

Bagi DAP, kata Loke, setiap kawasan yang DAP tandingi akan ada poster boy atau poster girl berdasarkan calon-calon parti itu yang bertanding.

“Sasaran DAP adalah untuk menang dan mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini termasuk Ulu Tiram,” tambahnya.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon N.42 Johor Jaya dan N.40 Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong hari ini.

Dalam majlis itu, Nor Zulaila Abd Ghani, 38, dan Lee Wern Yiing, 30, diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Tiram.

BACA JUGA Bang Mat pilih dengar suara petani, santai minum kopi sambil bincang masa depan makanan negara