Anwar titip doa selepas MP Pas terbabit nahas jalan raya

Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kematangan politik apabila menzahirkan ucapan takziah dan doa buat Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, yang terlibat dalam nahas jalan raya bersama isterinya di Melaka.

Menerusi kenyataan ringkas, Perdana Menteri mendoakan agar wakil rakyat Pas itu bersama isteri segera diberikan kelegaan, dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.

“Takziah kepada Ahli Parlimen Jasin saudara YB Zulkifli Ismail dan isteri yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Melaka.

“Saya mendoakan saudara dan isteri lekas diberi kelegaan dan dikurniakan aafiyah serta dipermudahkan urusan, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial sebentar tadi.

Terdahulu, Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka itu dilaporkan mengalami cedera ringan iaitu luka di kedua-dua tangan manakala isterinya mengalami sakit dada selepas Nissan Teana yang dipandu berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Axia.

Kemalangan itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), kira-kira 5.20 pagi tadi.

Kenderaan dipandu wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu datang dari arah persimpangan lampu isyarat Jelatang manakala Axia yang dipandu seorang wanita datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.

Nissan Teana terbabit sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum dilanggar Axia yang masuk ke persimpangan itu.

Polis memaklumkan pemandu Axia berkenaan mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan tulang pinggul manakala tiga lagi rakannya yang cedera ringan.

BACA JUGA Terkenal suka baca doa Qunut Nazilah, kereta MP Pas ini dilanggar Axia