Siapa dapat diesel RM2.10? MOF keluarkan perinciannya dan macam mana nak tebus di stesen minyak
Kementerian Kewangan hari ini mengeluarkan perincian penuh mengenai pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di bawah BUDI MADANI yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026, melibatkan perubahan besar terhadap kaedah subsidi bagi pengguna diesel di seluruh negara.
Menerusi sistem baharu itu, subsidi tidak lagi disalurkan dalam bentuk bantuan tunai bulanan kepada pemilik diesel persendirian seperti sebelum ini, sebaliknya diberikan terus di pam pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad.
Menurut MOF, pendekatan baharu itu dibuat bagi memastikan subsidi hanya dinikmati kumpulan sasar, mengurangkan ketirisan serta menjimatkan perbelanjaan subsidi kerajaan sehingga RM2 bilion setahun.
Golongan layak ialah rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah serta memiliki kenderaan diesel persendirian berdaftar atas nama sendiri.

Setiap penerima layak menikmati kuota asas 200 liter sebulan, manakala pemilik kenderaan jenis pick-up dan jip boleh memohon tambahan 100 liter lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter sebulan. Permohonan tambahan itu dibuka mulai 22 Jun 2026.
Mudah faham: Apa yang berubah mulai 1 Julai?
Siapa layak?
- Warganegara Malaysia
- Ada lesen memandu sah
- Miliki kenderaan diesel persendirian
Harga diesel subsidi
- RM2.10 seliter
- Beli terus di stesen minyak
Cara beli
- Guna MyKad untuk pengesahan
- Tidak perlu lagi tunggu bantuan tunai masuk akaun
Kuota bulanan
- Pengguna biasa: 200 liter sebulan
- Pick-up & jip: 300 liter sebulan
- (200L asas + 100L tambahan selepas permohonan)

Apa jadi dengan sistem lama?
- Bantuan tunai BUDI Diesel individu dihentikan
- Subsidi kini diberi terus di pam minyak
Ringkasnya, mulai Julai nanti rakyat yang memiliki kenderaan diesel dapat menikmati harga diesel subsidi ketika mengisi minyak menggunakan MyKad.

