Negeri Sembilan belanja RM1.24 juta bantu pesakit ortopedik jalani implan
Sebanyak RM1.24 juta telah dibelanjakan kerajaan Negeri Sembilan bertujuan membantu pesakit ortopedik yang kurang berkemampuan untuk menjalani pembedahan implan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut adalah daripada tahun 2020 sehingga April 2023.
“Jumlah berkenaan telah memberi manfaat kepada 210 orang pesakit. Untuk makluman juga, sebanyak RM740,000 telah diperuntukkan sejak tiga tahun lalu.
“Ia adalah sebagai bantuan rawatan fistula untuk pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Mawar; NS Chinese Maternity Hospital dan Hospital Az-Zahra Bangi,” dilapor portal berita Negeri Kita.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata demikian sebagai menjawab soalan ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren di Persidangan Kelima Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, hari ini.
Sidang yang diadakan hari ini adalah persidangan terakhir sebelum ia dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada Julai ini.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, persidangan kali ini diadakan singkat, iaitu sehari sahaja.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan 20 kerusi kini dikuasai kompenan parti Pakatan Harapan (PH), manakala baki 16 kerusi lagi dikuasai Barisan Nasional (BN).
Selain Negeri Sembilan, lima negeri lagi iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.