Anthony Loke: Kemenangan Pakatan Harapan di Johor penting demi kestabilan politik negara

FOTO BERITA: Ucapan YB Anthony Loke Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan sempena Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Muar Johor. 22hb Jun 2026 (Isnin)

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menegaskan bahawa kemenangan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sahaja penting untuk pembangunan negeri, malah menjadi faktor utama dalam memastikan kestabilan politik di peringkat Persekutuan. Beliau berkata, sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan Harapan akan memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus memastikan agenda reformasi dan pembangunan negara dapat diteruskan.

“Kalau rakyat mahu memastikan kestabilan politik di Putrajaya dan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi Perdana Menteri, maka kemenangan Pakatan Harapan di Johor amat penting,” katanya. Menurut beliau, Pakatan Harapan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan menampilkan gabungan calon berpengalaman, golongan profesional, wanita dan anak muda. Anthony berkata, daripada 17 kerusi yang ditandingi DAP, seramai lapan calon merupakan wanita, manakala calon termuda berusia 28 tahun dan calon paling senior berusia 54 tahun, dengan purata umur sekitar 40 tahun.

“Ini membuktikan komitmen Pakatan Harapan untuk memperkasakan wanita dan memberi peluang kepada generasi muda memainkan peranan dalam kepimpinan negeri,” katanya. Beliau menegaskan bahawa walaupun calon datang daripada PKR, Amanah atau DAP, semua jentera perlu bekerja sebagai satu pasukan kerana setiap kemenangan adalah kemenangan bersama Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Anthony turut mempertahankan rekod Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan Johor dan menolak dakwaan bahawa negeri itu dipinggirkan. Menurut beliau, banyak kejayaan pembangunan di Johor, khususnya di Johor Bahru, turut disumbangkan oleh hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negara jiran Singapura yang berjaya menarik lebih banyak pelaburan ke negeri tersebut.

Beliau turut memuji usaha Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam mempercepatkan pelaksanaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura melalui pindaan undang-undang berkaitan kemudahan imigresen yang membolehkan operasi rentas sempadan dilaksanakan dengan lebih cekap. “Projek RTS yang bakal beroperasi hujung tahun ini membuktikan kerajaan hari ini bukan melambatkan pembangunan, tetapi mempercepatkan projek yang telah lama dirancang,” katanya.

Anthony berkata pembangunan Johor juga perlu dilaksanakan secara lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu di Johor Bahru semata-mata. Katanya, kawasan seperti Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat dan daerah-daerah lain turut perlu menikmati manfaat pembangunan serta peluang ekonomi yang lebih luas. “Pakatan Harapan membawa agenda pembangunan yang inklusif supaya kemajuan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Johor tanpa mengira lokasi,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh cabaran ekonomi global yang sedang dihadapi dunia ketika ini, termasuk konflik antarabangsa dan ketidaktentuan harga tenaga, namun menegaskan Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan bekalan dan melaksanakan reformasi ekonomi demi kesejahteraan rakyat.Menurutnya, kepimpinan Perdana Menteri berjaya mengangkat semula martabat Malaysia di peringkat antarabangsa serta mewujudkan keyakinan pelabur terhadap negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor untuk memberikan mandat kepada Pakatan Harapan pada PRN kali ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negara. Mengakhiri ucapannya, Anthony mengajak rakyat menyahut slogan kempen Pakatan Harapan Johor, “Johor Ke Depan, Undi Harapan” sebagai simbol harapan baharu untuk masa depan negeri itu.“Johor memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara. Dengan sokongan rakyat, kita boleh memastikan Johor terus maju dan Malaysia kekal stabil di bawah kepimpinan yang progresif,” katanya.