Onn Hafiz kena dedah siapa halang masuk Felda, adakah arahan Zahid?

Dakwaan Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau dihalang memasuki kawasan Felda menimbulkan persoalan besar memandangkan Felda kini berada di bawah pemantauan pemimpin Umno.

Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng menggesa Onn Hafiz menjelaskan dakwaannya kerana Felda dan FGV berada di bawah portfolio Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Pengerusi Felda pula ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, pelik apabila seorang Menteri Besar Umno tidak dibenarkan memasuki kawasan Felda yang dipantau oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri.

“Rakyat berhak mengetahui siapa sebenarnya yang menghalang beliau. 

“Adakah arahan tersebut datang daripada Zahid Hamidi yang diberikan tanggungjawab mengelola dan memantau urusan Felda dan FGV Holdings Berhad, atau adakah keputusan itu dibuat oleh Shabery Cheek?” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Lim berkata, jika benar Onn Hafiz telah dihalang, beliau perlu mendedahkan siapa yang menghalang dan apa alasan di sebalik tindakan tersebut 

Menurutnya, Onn Hafiz tidak boleh sekadar membuat dakwaan umum tanpa menyatakan fakta yang lengkap kepada orang ramai.

“Jika benar ada pihak yang menghalang beliau, nyatakan secara jelas siapa yang mengeluarkan arahan tersebut. 

“Jika tiada arahan sedemikian pernah dikeluarkan, maka rakyat juga berhak mempersoalkan sama ada dakwaan tersebut sekadar cubaan untuk memainkan sentimen simpati politik atau ‘play victim’,” ujarnya.

Terdahulu, Onn Hafiz dilaporkan mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan Felda bagi menghadiri program penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026, menyebabkan program yang dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato’ Onn di Taman Sri Lambak.

BACA JUGA Menteri dan pengerusi jaga Felda semua orang Umno, siapa pula halang Onn Hafiz?