Hanya tinggalkan PN, bentuk gabungan baru boleh selesaikan masalah Pas-Bersatu

Pas hanya dapat menamatkan sepenuhnya kerjasama dengan Bersatu dan keluar daripada bayang-bayang parti itu sekiranya membentuk gabungan politik baharu dan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata, jika Pas terus membawa jenama PN, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu akan terus dibayangi Bersatu untuk satu tempoh yang dijangkakan sangat cukup lama.

“Jika Pas hendak laksanakan segera keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu, hanya ada satu pilihan iaitu Pas tinggalkan PN dan bentuk kerjasama politik baru dengan parti-parti sekutu mereka.

“Jika terus carry jenama PN, Pas akan terus dibayangi oleh Bersatu untuk suatu tempoh yang belum ada tentatif penamat,” katanya dalam satu ulasan di Facebook.

Mohd Yusri yang juga Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkata, seperti yang beliau jangka, tidak mudah untuk Pas “menelan” Bersatu.

Antara faktornya adalah kerana Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang disifatkan beliay sebagai “otai yang banyak buah kilas”.

“Dua hari lepas Mahiaddin mendapat tonik meyakinkan dalam pelancaran jentera pilihan raya Bersatu di Johor. Semalam (kelmarin) beliau melangkah penuh meyakinkan ke mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang diadakan di Pejabat Agung Pas

“Habis mesyuarat, beliau melangkah keluar, juga penuh keyakinan,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu tidak akan mudah-mudah meninggalkan PN biarpun Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 8 Jun telah membuat keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, namun bayangan Bersatu akan terus menghantui Pas.

“Semua orang tahu, semalam PN memulakan mesyuarat rundingan agihan kerusi untuk PRN Johor. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

“Rundingan turut melibatkan Bersatu, parti yang dihentikan kerjasama politik oleh Pas. Seperti catatan-catatan saya sebelum ini, walau terpusing terbalik tergolek bagaimana sekalipun, Bersatu tidak akan mudah-mudah tinggalkan PN,” katanya.

BACA JUGA Onn Hafiz kena dedah siapa halang masuk Felda, adakah arahan Zahid?