Birokrasi dipermudah: Pembiayaan TEKUN RM20,000 siap dalam sehari
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk meluluskan permohonan pembiayaan mikro TEKUN Nasional sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam menjelang penghujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada usahawan, selain mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pembiayaan.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika melancarkan Portal TEKUN Nasional sempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka di Morten Walk, hari ini.
“Pembiayaan tidak seharusnya dibebankan dengan proses yang terlalu panjang dan birokratik. Kita mahu usahawan memberi tumpuan kepada membina perniagaan, manakala kerajaan memastikan sokongan sampai dengan lebih pantas,” katanya.
Portal TEKUN Nasional dibangunkan sebagai platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan serta mengakses maklumat program dan latihan keusahawanan.
Menurut Steven, pelancaran portal itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi ABCD KUSKOP, khususnya di bawah teras “Birokrasi Dipermudahkan”, selain memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan TEKUN.
Pada masa sama, beliau memaklumkan permohonan pembiayaan TEKUN sehingga RM100,000 kini diproses dan diluluskan dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, SME Bank dan Bank Rakyat turut komited memproses dan meluluskan permohonan pembiayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh 14 hari.
Lawatan kerja tiga hari Steven ke Melaka sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia turut dimanfaatkan untuk meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif pembiayaan usahawan.
Sehingga 31 Mei lalu, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian.
Di peringkat nasional pula, kementerian itu telah meluluskan pembiayaan bernilai RM5 bilion yang memanfaatkan lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.
Menerusi inisiatif PowerUp10K, KUSKOP menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara tahun ini.
BACA JUGA Lokman Adam sahkan BN kerjasama dengan Pas di Johor