Ada yang belum ‘beres’ pemilihan calon Umno Johor
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini selepas mendakwa terdapat “sesuatu yang tidak kena” dalam perkembangan terkini Umno Johor.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Puad berkata kebimbangannya timbul selepas meneliti senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada Umno Johor.
“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026. Perkembangan terkini Umno Johor merisaukan,” katanya.
Bagaimanapun, Puad tidak menjelaskan bentuk pengumuman yang bakal dibuat, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi mengenai langkah politik seterusnya.
Beliau turut menegaskan tidak akan “menoleh belakang” meskipun menganggap dirinya hanya “insan kerdil”.
Enam hari lalu, Puad mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada PRN kali ini atas faktor usia.
Menurutnya, beliau sebelum ini mengambil pendirian bahawa golongan muda yang terlatih dan berpendidikan perlu diberi peluang untuk menerajui kepimpinan.
“Saya telah mengumumkan melalui Facebook bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia. Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang.
“Tetapi tidak diindahkan. Saya melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan,” katanya.
Kenyataan terbaharu Puad itu dijangka menambah perhatian terhadap dinamika dalaman Umno Johor menjelang PRN, khususnya selepas beliau memberi isyarat bahawa perkembangan dalam parti di negeri itu sedang menuju ke arah yang membimbangkan.
BACA JUGA Selepas AMANAH Pasir Gudang mahu boikot PRN, ini reaksi Bang Mat