AMANAH pertahan calon muda di Permas, arah jentera hentikan bantahan dan fokus menang PRN Johor

Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertahankan keputusan mencalonkan Sharon Teo sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Permas, sambil menegaskan pemilihan itu dibuat secara teliti dan bukan keputusan tergesa-gesa seperti didakwa sesetengah pihak.

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya mengambil maklum sidang akhbar beberapa pimpinan AMANAH Kawasan Pasir Gudang yang membantah pencalonan Sharon Teo bagi kerusi N.43 Permas sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) ke-16.

Beliau berkata, pencalonan Sharon telah diputuskan selepas melalui beberapa proses tapisan dan mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, sekali gus menolak dakwaan bahawa Sharon merupakan calon payung terjun.

Menurutnya, Sharon Teo Siew Hui bukan figura baharu dalam parti kerana telah aktif bersama AMANAH sejak 2018, selain pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor dari 2021 hingga 2023.

Komitmen AMANAH

Sharon juga kini merupakan Ketua Wanita Muda (Warda) Johor, dan menurut parti itu, pemilihan wanita berkenaan mencerminkan komitmen AMANAH untuk mengetengahkan suara golongan muda serta wanita dalam arena politik negara.

“AMANAH yakin dengan kemampuan Sharon Teo sebagai calon kerusi DUN Permas yang merupakan anak jati Johor dan pencalonan beliau adalah bagi membuktikan citra AMANAH yang mahu mengangkat suara golongan muda dan wanita dalam persada politik Malaysia,” kata Faiz.

Dalam masa sama, AMANAH menasihatkan pimpinan kawasan di Pasir Gudang supaya merapatkan saf dan menghentikan sebarang pertikaian dalaman yang boleh menjejaskan gerak kerja pilihan raya.

“AMANAH menasihati AMANAH Kawasan untuk merapatkan saf dan memberikan tumpuan bagi membantu jentera parti di dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Permas,” katanya.

Faiz menambah kemenangan PH bukan sekadar untuk individu, tetapi bagi memastikan AMANAH menyumbang kerusi penting dalam usaha membentuk kerajaan baharu di Johor selepas PRN nanti.

“Kemenangan dalam PRU Negeri Johor ini bukanlah memenangkan calon atas kapasiti individu tetapi untuk memastikan AMANAH menyumbang satu kerusi kepada Pakatan Harapan bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk di Johor,” kata beliau lagi.

Terdahulu, AMANAH Pasir Gudang mengadakan sidang media menyatakan keputusan memboikot calon PH bagi DUN Permas yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Jun lalu.

Penolong Setiausaha AMANAH Pasir Gudang, Haini Harun, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara kerana pihaknya masih menyokong Ketua AMANAH Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah sebagai calon.

Susulan itu, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam reaksi ringkasnya kepada media berkata, tidak timbul masalah bagi AMANAH meletakkan calon bukan Melayu di kerusi DUN Permas.

Mohamad berkata, pemilihan calon sudah diputuskan dan tidak timbul masalah berhubung keputusan itu yang menyaksikan Sharon Teo dipilih sebagai calon PH mewakili AMANAH di kerusi tersebut.

BACA JUGA Ada yang belum ‘beres’ pemilihan calon Umno JohorÂ