Yuneswaran tekankan pembangunan infrastruktur dan peluang pekerjaan demi masa depan Segamat

FOTO BERITA: Majlis Ceramah Perdana ‘Johor Ke Depan Undi Harapan’ bersama YB Mohamad Sabu Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan di Tapak Bazar Yayasan Segamat, Johor. 24hb Jun 2026 (Rabu)

Ahli Parlimen Segamat, YB Tuan Yuneswaran a/l Ramaraj menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur yang menyeluruh merupakan kunci utama untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan generasi muda terus membina masa depan di daerah Segamat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana “Johor Ke Depan Undi Harapan” bersama Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Tapak Bazar Yayasan Segamat, malam tadi. Menurut beliau, Segamat yang suatu ketika dahulu sering dikaitkan dengan masalah banjir kini sedang menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek mitigasi banjir hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan wakil rakyat tempatan.

“Ketika saya bertanding dahulu, saya berjanji untuk memperjuangkan penyelesaian isu banjir di Segamat. Hari ini, projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM600 juta sedang dilaksanakan melibatkan beberapa kawasan termasuk Segamat, Jementah dan Sungai Labis,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa usaha menyelesaikan masalah banjir bukan sahaja bertujuan menjaga kebajikan rakyat, malah penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk membuka perniagaan dan kilang di kawasan utara Johor. Menurutnya, Segamat kini berdepan cabaran penghijrahan anak muda ke bandar-bandar besar dan luar negara kerana kekurangan peluang pekerjaan di daerah tersebut.

“Segamat merupakan antara daerah yang mempunyai populasi warga emas yang tinggi kerana ramai anak muda berhijrah ke Kuala Lumpur, Singapura dan negeri lain untuk mencari pekerjaan. Kita mahu mengubah keadaan ini dengan membawa lebih banyak pembangunan dan pelaburan ke daerah ini,” katanya. Beliau turut menekankan kepentingan projek infrastruktur seperti penambahbaikan rangkaian jalan raya, sistem pengangkutan awam dan perkhidmatan kereta api yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, apabila masalah banjir dapat diatasi dan kemudahan pengangkutan dipertingkatkan, lebih banyak syarikat besar akan berminat untuk melabur di Segamat sekali gus membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan. Dalam ucapannya, Yuneswaran turut mengingatkan bahawa kestabilan politik merupakan faktor penting dalam memastikan negara terus berkembang dan menarik pelaburan asing.

Beliau berkata, Malaysia kini menikmati kestabilan pentadbiran yang lebih baik berbanding tempoh sebelum ini yang menyaksikan pertukaran beberapa Perdana Menteri dalam tempoh singkat.

“Pelabur memerlukan keyakinan. Jika politik tidak stabil, mereka tidak akan datang melabur. Sebab itu kita perlu mempertahankan kestabilan demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. Selain itu, beliau menyeru semua calon Pakatan Harapan yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan penyelesaian masalah rakyat berbanding menyerang lawan politik.

Menurutnya, rakyat mahu melihat pelan pembangunan yang jelas serta pemimpin yang mampu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membawa kemajuan ke kawasan masing-masing. Beliau juga memuji usaha kerajaan MADANI dalam memperkasakan institusi komuniti seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), termasuk peningkatan peruntukan tahunan kepada KRT bagi memperkukuh peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Mengakhiri ucapannya, Yuneswaran menyeru rakyat Johor khususnya pengundi Segamat supaya keluar mengundi dan mengajak ahli keluarga pulang menunaikan tanggungjawab demokrasi pada hari pengundian. “Undi bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju masa depan negeri dan negara. Marilah kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih maju, bersatu dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya.