PH tampil dengan kekuatan penuh, BN pula buat pengumuman dalam suasana janggal
Oleh DATUK DR SUHAIMI IBRAHIM
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini jelas memasuki fasa yang lebih serius dan mendebarkan.
Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan barisan calon yang akan bertanding. Pengumuman dibuat sendiri oleh Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Anwar Ibrahim, dengan kehadiran penuh pimpinan utama semua parti dalam gabungan.
Isyarat ini cukup jelas, PH datang dengan solidariti, disiplin dan kesefahaman yang tersusun.
Ini adalah satu lambang keyakinan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi di Johor nanti dan memberi impak psikologi yang besar kepada pengundi atas pagar.

Semalam pula, Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon mereka. Namun, suasananya berbeza. Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri tanpa kehadiran Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Timbul persoalan, dalam saat yang begitu penting, kenapa pimpinan tertinggi Umno seperti menjauhkan diri?
Ia bagai mengesahkan teori bahawa keputusan BN bertanding solo ini telah mewujudkan garis pemisah yang jelas antara kepimpinan Umno pusat dan Umno negeri Johor.
Majlis juga terpaksa dilewatkan lebih dua jam atas alasan teknikal.
Dalam politik, ini sememangnya petunjuk klasik kepada last-minute horse-trading atau rombakan saat akhir senarai calon di belakang tabir.
Seolah-olah senarai calon terpaksa mendapat endorsement dari pihak tertentu sebelum benar-benar dimuktamadkan.
Agak pelik. Sebagai pihak yang membubarkan DUN, Umno-BN sepatutnya menjadi paling bersedia. Tetapi yang kelihatan adalah sebaliknya.
Beberapa keputusan juga mengejutkan. Ketiadaan nama bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menimbulkan tanda tanya besar.
Pencalonan Alawiyah Talib di DUN Endau turut mengundang persoalan, seorang bekas pemimpin Bersatu yang baru meninggalkan parti, kini diangkat sebagai calon.
Adakah Umno tiada calon yang lebih berkredibiliti sehingga sanggup mengangkat semula individu yang pernah meninggalkan perjuangan mereka?
Pencalonan semula Datuk Dr Adham Baba pula sesuatu yang menarik. Reputasi beliau sebagai Menteri Kesihatan pernah dipersoal, dikatakan gagal ketika krisis Covid-19.
Kecanggungan ini bukan sekadar persepsi luar. Veteran Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi sendiri menyuarakan keraguan, menyifatkan pemilihan calon kali ini seperti “ada sesuatu yang tak kena”, dan dijangka akan memperincikan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz dilihat sedang berdepan tekanan hebat dan berterusan daripada isu enggan duduk semeja dengan DAP hinggalah kepada kontroversi pembatalan Hari Felda sehingga dikatakan beliau terpaksa ‘menjual airmata’ demi simpati.
Sejujurnya, Umno-BN dilihat bakal berdepan laluan yang sukar dalam PRN kali ini. Kesilapan demi kesilapan yang boleh dianggap sebagai ‘menembak kaki sendiri’.
Sebelum pembubaran DUN, mereka dilihat memiliki kelebihan. Namun, menjelang hari pencalonan, kelebihan itu semakin terhakis dan semakin goyah.
Dalam masa yang sama, Perikatan Nasional (PN) pula berada dalam keadaan paling tidak stabil. Pergeseran dalaman antara komponen utama semakin ketara, dengan hubungan antara Bersatu dan Pas telah pun ditamatkan.
Kehadiran parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainuddin pula menambah lagi kerumitan, apabila ia tidak diterima secara terbuka oleh kepimpinan Bersatu sendiri.
Malah, isu penggunaan lambang PN masih belum mampu mencapai kata sepakat, menunjukkan gabungan PN ini bukan berada diposisi terbaik untuk memberi cabaran bermakna dalam PRN kali ini.
Pengundi Johor hari ini bukan lagi kelompok yang boleh diumpan dengan retorik kosong atau air mata politik saat akhir.
Mereka adalah pengundi matang yang mendambakan kestabilan sebenar demi kelangsungan ekonomi dan masa depan negeri.
Isyarat solidariti yang padu ditampilkan oleh PH di Bukit Gambir kelmarin bukan sekadar gimik pelancaran.
Ia merupakan bukti sahih bahawa mereka adalah satu-satunya gabungan yang paling stabil, padu, dan bersedia untuk mengemudi Johor.
Taruhan kini di tangan rakyat Johor untuk memilih kestabilan yang nyata bersama PH, atau membiarkan masa depan negeri terperangkap dalam percaturan elit politik yang tidak berkesudahan.
*DATUK DR SUHAIMI IBRAHIM merupakan Ketua Penerangan PKR Pahang.
BACA JUGA Minyak turun lagi, ada ‘nafas’ baharu buat rakyat