Anak Salahuddin Ayub bela Sharon Teo, bukan calon payung terjun
Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin tampil mempertahankan calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Sharon Teo, daripada dakwaan kononnya merupakan “calon payung terjun” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Fatihah, beliau mengenali Sharon sejak awal penubuhan sayap wanita muda AMANAH, WARDA, sekitar 2018 dan menyifatkan beliau sebagai antara individu yang konsisten bekerja di belakang tabir di kawasan Parlimen Pulai.
Katanya, Sharon memainkan peranan penting dalam membina jaringan dengan pengundi Cina di Pulai ketika kawasan itu berada di bawah pentadbiran Allahyarham Salahuddin.
“Beliau adalah antara pasukan yang aktif di belakang tabir menjaga kawasan Pulai semasa di bawah pentadbiran Salahuddin Ayub. Ini adalah fakta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fatihah berkata, penglibatan Sharon bukan sahaja terhad di peringkat kawasan, malah beliau turut aktif dalam organisasi parti di peringkat sayap dan negeri.
Beliau turut mendakwa Sharon terus membantu calon AMANAH di Pulai dalam usaha berkempen dan mengekalkan hubungan dengan pengundi Cina, meskipun selepas pemergian Allahyarham Salahuddin pada Julai 2023.
Sehubungan itu, Fatihah mempersoalkan asas dakwaan yang melabelkan Sharon sebagai calon payung terjun.
“Saya tidak nampak di mana logiknya apabila ada pihak menuduh beliau adalah calon payung terjun,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada label tersebut diberikan kerana Sharon merupakan seorang wanita muda atau disebabkan latar belakangnya sebagai seorang berbangsa Cina.
“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi untuk menafikan keterlibatan seseorang dalam gerak kerja yang telah lama dilakukan adalah tuduhan yang jahat dan tidak adil,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Fatihah turut menitipkan kata-kata semangat kepada Sharon.
“Buat Sharon yang saya kasihi, terus kuat dan terus berjuang. Saya doakan segala yang terbaik dan semoga berjaya,” katanya.
Dakwaan bahawa Sharon merupakan calon payung terjun mula menjadi perbualan di media sosial selepas pengumuman pencalonannya.
Namun, kenyataan Fatihah dilihat cuba menepis persepsi tersebut dengan menegaskan bahawa Sharon telah lama terlibat dalam gerak kerja parti dan pembangunan akar umbi di kawasan Pulai.
BACA JUGA Minyak turun lagi, ada ‘nafas’ baharu buat rakyatÂ