Bersih, IDEAS sokong asing peranan AG-Pendakwa Raya, mahu kuasa Parlimen diperkukuh
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) serta Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyambut baik cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, namun berpandangan penglibatan Parlimen dan ketelusan proses pelantikan Pendakwa Raya masih perlu diperkukuhkan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pertubuhan itu menghargai usaha Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (JKPK), termasuk pendekatan mendapatkan pandangan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pakar perundangan.
Bersih dan IDEAS turut menyokong syor supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) diberi kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Pendakwa Raya.
Menurut mereka, pendekatan itu selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan dapat mengelakkan institusi Yang di-Pertuan Agong daripada terheret ke dalam pertikaian politik berkaitan keputusan atau prestasi Pendakwa Raya.
Bagaimanapun, kedua-dua organisasi itu berpandangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 masih mempunyai beberapa kelemahan utama, khususnya berkaitan peranan Parlimen dalam pelantikan dan pengawasan terhadap Pendakwa Raya.
Bersih dan IDEAS berkata, walaupun JKPK mencadangkan penglibatan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya, cadangan pindaan tersebut tidak memberikan fungsi yang benar-benar bermakna kepada institusi itu.
Menurut mereka, RUU berkenaan hanya membenarkan Parlimen memberikan ulasan tanpa sebarang peruntukan yang membolehkan Dewan Rakyat mengesyorkan atau menolak calon Pendakwa Raya.
“Kami berpandangan Perlembagaan perlu menyatakan dengan jelas peranan Parlimen dalam pelantikan ini.
“Dewan Rakyat khususnya perlu diberikan kuasa untuk membentuk jawatankuasa bagi meneliti dan mengesyorkan atau tidak mengesyorkan calon Pendakwa Raya sebelum proses pelantikan dibuat,” kata kenyataan itu.
Mereka turut menyatakan syor mengenai penubuhan jawatankuasa khas Parlimen sebenarnya telah dinyatakan dalam laporan JKPK, namun tidak diterjemahkan dalam cadangan pindaan kepada RUU tersebut.
Bersih dan IDEAS juga menyambut baik cadangan supaya Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen berhubung pentadbiran, pengurusan dan kedudukan kewangan pejabat itu.
Namun, mereka menegaskan fungsi semak dan imbang Parlimen tidak boleh terhad kepada aspek pentadbiran dan kewangan semata-mata.
Sebaliknya, Parlimen perlu diberi ruang untuk meneliti dasar-dasar pendakwaan serta memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan garis panduan dan etika yang ditetapkan, terutama dalam isu besar seperti pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), tiada tindakan lanjut (NFA) dan keputusan berkaitan DNA.
“Bersih dan IDEAS bersedia menyokong RUU ini dengan syarat penglibatan Parlimen yang lebih substantif dapat dimasukkan ke dalam pindaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua organisasi itu turut menyifatkan negara kini berada pada detik penting dalam reformasi sistem keadilan dan menyeru semua Ahli Dewan Rakyat, sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang, supaya meneliti dan memperbaiki cadangan pindaan yang dibentangkan.
Mereka menegaskan institusi Pendakwa Raya yang baharu perlu dibina atas asas proses pelantikan yang telus, pengawasan yang bermakna serta tahap kebertanggungjawaban yang tinggi kepada rakyat melalui institusi Parlimen.
BACA JUGA Onn nafi dakwaan Puad, akan buat laporan polis