Puad keluar Umno sebab anak tak jadi calon? Ini pendedahan Asyraf Wajdi

Tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkash meninggalkan parti mencetuskan polemik apabila timbul dakwaan bahawa keputusan itu berkait dengan kegagalan mendapatkan tempat untuk ahli keluarga sebagai calon pilihan raya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa , sebelum ini pernah mengugut untuk keluar parti dan menghentam kepimpinan sekiranya anaknya tidak dipertimbangkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Asyraf berkata beliau berasa dukacita dengan keputusan Puad meninggalkan Umno, namun menyifatkan alasan yang diberikan bekas pemimpin itu sebagai tidak tepat dan berbaur fitnah.

“Saya berasa dukacita dengan pengumuman sahabat saya Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan untuk keluar dari Umno serta-merta hari ini.

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal Umno Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Asyraf, Puad sendiri pernah menulis kepadanya secara panjang lebar dan mengugut untuk meninggalkan parti sekiranya kepimpinan tertinggi Umno tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon.

“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi Umno tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya.

Asyraf mengakui anak Puad masih muda dan mempunyai potensi untuk dilatih sebagai pemimpin, namun pemilihan calon perlu mengambil kira pelbagai faktor.

“Adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.

“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa ini bukan kali pertama Puad mengugut untuk meninggalkan parti apabila kehendaknya tidak dipenuhi.

“Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat,” dakwanya.

Asyraf menegaskan bahawa Umno bukan sebuah parti yang mengutamakan kepentingan keluarga atau diwariskan kepada anak-beranak.

“Cukup-cukuplah Umno ini diugut sedemikian rupa. Umno bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.

“Perjuangan Umno jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu,” katanya.

Terdahulu, Puad mengumumkan keluar daripada Umno dan mendakwa keputusan itu dibuat kerana Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan serta dikawal oleh Istana, dakwaan yang kemudiannya dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

BACA JUGA Bersih, IDEAS sokong asing peranan AG-Pendakwa Raya, mahu kuasa Parlimen diperkukuh