MB ‘muda’ Johor umum 56 calon PRN tapi muka lama masih mendominasi
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al Rashid mempersoalkan hala tuju sebenar BN Johor selepas pengumuman penuh 56 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menurutnya tidak banyak mencerminkan usaha membawa pembaharuan kepimpinan.
Beliau berkata, senarai calon yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu kini membolehkan rakyat menilai sendiri corak pemikiran dan bentuk kepimpinan yang ingin diketengahkan BN dalam menghadapi pilihan raya kali ini.
Menurutnya, antara perkara yang menimbulkan persoalan ialah apabila seorang bekas Menteri Kesihatan yang pernah menganggotai Kabinet diberi peluang sekali lagi untuk bertanding, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang ruang sebenar yang diberikan kepada generasi baharu.
“Persoalannya, di manakah ruang yang benar-benar diberikan kepada generasi baharu untuk tampil memimpin? Adakah ‘Orang Lama’ akan jadi poster boy BN Johor?” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor turut membangkitkan ketiadaan nama Setiausaha Pemuda Umno Malaysia dalam senarai calon walaupun sebelum ini individu tersebut dilihat aktif di media sosial dan sering tampil dengan pelbagai kenyataan sehingga mencetuskan persepsi bahawa beliau bakal diketengahkan.
Bagaimanapun katanya, nama pemimpin muda itu akhirnya langsung tidak tersenarai, sekali gus membuka pelbagai tafsiran mengenai pertimbangan dalaman parti.
“Mungkin parti mempunyai penilaian tersendiri, atau mungkin beliau masih belum mencapai tahap yang dianggap memenuhi ‘keperluan dan standard’ yang dikehendaki BN Johor,” sindir beliau.
Memberi laluan
Dalam masa sama, Danial berkata, beliau menghormati tindakan veteran Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilihat sanggup memberi laluan kepada generasi lebih muda untuk mengambil tempat dalam gelanggang politik.
Jelasnya, politik matang bukan sekadar bercakap tentang pembaharuan, sebaliknya menuntut keberanian untuk benar-benar melaksanakan perubahan tersebut.
Mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH), beliau berkata gabungan itu telah menunjukkan komitmen lebih jelas apabila memberikan ruang lebih besar kepada muka baharu serta pemimpin generasi muda dalam pengumuman calon sebelum ini.
“Ini membuktikan proses peremajaan kepimpinan bukan sekadar slogan, tetapi sedang diterjemahkan dalam tindakan.
“Rakyat Johor berhak melihat pertandingan idea, tenaga dan kepimpinan yang segar, bukannya pengulangan formula lama yang semakin kehilangan daya tarikan,” kata Danial lagi.
BACA JUGA Puad keluar Umno sebab anak tak jadi calon? Ini pendedahan Asyraf Wajdi