Dakwaan babit istana: Lebih 150 laporan polis dibuat terhadap Puad
Sebanyak 153 laporan polis dibuat seluruh negara terhadap Datuk Mohd Puad Zarkashi susulan dakwaan beliau tentang Umno Johor yang dikawal istana dan campur tangan pihak Istana dalam pembubaran Dewan Negeri Johor.
Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, antara pihak yang membuat laporan ialah bekas Exco kerajaan negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor
“Lebih kurang jam 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari, polis kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan polis daripada dua pihak tersebut berkaitan kenyataan dikeluarkan Puad Zarkashi di akaun media sosial.
“Setakat jam 3.00 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah laporan ini akan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata bagi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, hukuman jika disabitkan kesalahan kali pertama ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.
Bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau menasihatkan orang ramai agar menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegelisahan awam.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang melanggar undang-undang, katanya.