Samsuri belum ada ‘wow factor’ walau 4 bulan jadi Pengerusi PN – Bekas pegawai Mahiaddin

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar masih belum menunjukkan sebarang ‘wow factor’ selepas empat bulan menerajui gabungan itu.

Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, populariti Ahmad Samsuri dalam kalangan orang Melayu yang hanya sekitar 48 peratus, jauh ketinggalan berbanding ketika Mahiaddin menjadi Pengerusi PN yang pernah melebihi 70 peratus.

Katanya, populariti menteri besar Terengganu itu masih belum cukup kuat untuk membantu PN mencapai sasaran sokongan yang diperlukan bagi menawan Putrajaya pada PRU16.

“Terkini, populariti Tan Sri Muhyiddin masih mengatasi Dr Samsuri baik dalam kalangan orang Melayu mahupun secara keseluruhan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, walaupun berada di tempat keempat dalam kalangan orang Melayu, mendahului populariti keseluruhan diikuti KJ dan Tan Sri Muhyiddin.

“Ini cabaran besar bagi PN. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN untuk memenangkan PN dalam PRU 16. Setakat ini belum ada “wow factor”,” katanya.

Beliau merujuk kepada data Merdeka Centre yang diterbitkan baru-baru ini yang mendapati populariti Ahmad Samsuri  dalam kalangan orang Melayu hanya 48% dan secara keseluruhan 28%.

Marzuki berkata, kebiasaannya, populariti pemimpin akan mengangkat penerimaan parti dalam kalangan pengundi.

Jika PN memerlukan 70% sokongan Melayu, populariti Dr Samsuri dalam kalangan orang Melayu mesti melebihi 70%.

BACA JUGA MOF tegaskan perjalanan rasmi ke luar negara dihadkan untuk urusan berimpak tinggi