Johor perlukan politik tawar penyelesaian bukan pertelingkahan berpanjangan

Johor memerlukan kepimpinan yang mampu merapatkan jurang politik serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti, kata Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan.

Beliau berkata, pengalaman mutakhir menunjukkan politik yang terlalu didominasi oleh satu pihak atau satu ideologi akhirnya menyukarkan pembinaan persefahaman yang lebih luas.

Menurutnya, model Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa apabila perbezaan politik diketepikan demi kepentingan negara, hasilnya dapat dirasai oleh rakyat. 

Beliau memberi contoh bagaimana keyakinan pelabur semakin meningkat, ekonomi negara terus berkembang, serta peluang pekerjaan bertambah, dengan pelbagai inisiatif kebajikan berjaya dilaksanakan. 

“Semua ini hanya dapat dicapai melalui sebuah kerajaan yang stabil. Johor mempunyai segala kelebihan untuk muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia. 

*Namun, potensi itu hanya dapat direalisasikan jika wujud kestabilan politik serta kerjasama yang matang antara semua pihak. 

“Negeri ini memerlukan politik yang menawarkan penyelesaian, bukannya pertelingkahan yang berpanjangan. 

“Anak-anak muda Johor juga mempunyai bakat dan potensi yang besar. Tanggungjawab semua pihak adalah memastikan bakat ini dimanfaatkan demi pembangunan negeri, bukannya terus dibelenggu dengan konflik politik yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, semua pihak berhak menyatakan pandangan dan harapan terhadap masa depan negeri, namun pada akhirnya, mandat untuk memilih kerajaan tetap berada di tangan rakyat. 

“Akhirnya, biarlah rakyat yang membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan selain kepentingan Johor dan rakyatnya,” katanya lagi.

BACA JUGA Samsuri belum ada ‘wow factor’ walau 4 bulan jadi Pengerusi PN – Bekas pegawai Mahiaddin